USAHAWAN WANITA SABAH DISERU PERKUKUH PERNIAGAAN

sabahheadlines
3 Min Read

KENINGAU,30 Oktober – Usahawan wanita di Sabah diseru memperkukuh perniagaan menerusi pengurusan kewangan yang baik, pembinaan kepercayaan pelanggan, penggunaan teknologi digital dan pembelajaran secara berterusan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata, bidang keusahawanan memberi peluang kepada wanita menjana pendapatan sendiri, meningkatkan taraf hidup keluarga dan menyumbang kepada pembangunan negeri.

Katanya, wanita Sabah mempunyai potensi besar yang perlu terus diberi ruang, sokongan dan peluang untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Wanita di bandar dan luar bandar perlu mempunyai peluang untuk mendapatkan ilmu, bimbingan serta akses kepada pasaran.

“Dengan sokongan yang sesuai, lebih ramai wanita berpeluang membina perniagaan berdasarkan kemahiran dan keupayaan masing-masing,” katanya ketika merasmikan Program Keusahawanan JHEWANITA 2026, di sini, pada Khamis.

Menurut Nik Mohd Nadzri, perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan tetap mempunyai potensi untuk berkembang sekiranya diurus berlandaskan ilmu dan disiplin.

“Mulakan mengikut kemampuan, kenali keperluan pelanggan dan perbaiki kelemahan secara berterusan.

“Setiap pengalaman boleh dijadikan pelajaran untuk membuat keputusan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta, institusi kewangan dan komuniti dalam menyediakan latihan praktikal, bimbingan yang mudah diakses serta maklumat berkaitan peluang pasaran dan pembiayaan.

Katanya, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) diharap terus berperanan sebagai penghubung dalam mendekatkan usahawan wanita dengan peluang, agensi dan pihak berkaitan yang dapat membantu mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau turut menggalakkan peserta program melaksanakan sekurang-kurangnya satu penambahbaikan dalam tempoh minggu pertama selepas menghadiri program berkenaan.

“Antaranya ialah memperkemas rekod kewangan atau memperbaiki kaedah promosi. Langkah kecil yang dilaksanakan secara konsisten mampu memberi perubahan kepada pengurusan dan perkembangan perniagaan,” katanya.

Program berkenaan turut diisi dengan pameran agensi dan usahawan, ceramah berkaitan perundangan serta keselamatan digital perniagaan dan Forum Inspirasi Usahawan yang menampilkan usahawan Datuk Normaziah Sheikh Mohamed serta Wanita Ikon Sabah 2026/2027, Noor Farahdilah Najmuddin.

Program turut menyaksikan gimik penyerahan Geran Bantuan Peralatan Usahawan bimbingan JHEWA kepada lima wakil usahawan dan disertai kira-kira 400 usahawan.

Hadir sama Pengarah JHEWA, Haslina Ismail dan Pegawai Daerah Keningau, Norsih Nusuri.

Share This Article