KOTA KINABALU, 22 Oktober – Sabah memanfaatkan kekayaan sumber aslinya bagi menarik pelaburan, memperluas akses pasaran serta menjana peluang ekonomi bernilai tinggi melalui pembangunan mampan dan bertanggungjawab.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sumber semula jadi negeri termasuk hutan, biodiversiti, kawasan pesisir pantai, sungai, tanah lembap dan ekosistem marin merupakan aset penting yang menyokong kehidupan rakyat serta pelbagai sektor ekonomi.
Menurutnya, pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar perlu bergerak seiring bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri dapat dikekalkan untuk jangka panjang.
“Pertanian, perindustrian dan pelancongan kekal sebagai pemacu utama ekonomi, manakala kelestarian perlu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan,” katanya dalam teks ucapan sempena perasmian Persidangan Tindakan Lestari 2026 (SAC 4.0) di Magellan Sutera Resort, di sini, kelmarin.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Persidangan itu dianjurkan oleh Control Union Malaysia dengan sokongan Kedutaan Kerajaan Belanda di Malaysia.
Hajiji berkata, pendekatan berkenaan selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang menekankan pembangunan produktif, berdaya tahan dan bertanggungjawab.
Katanya, agenda Ekonomi Biru Sabah turut membuka peluang dalam sektor perikanan dan akuakultur mampan, bioteknologi marin, aktiviti maritim serta pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Beliau berkata, pengurusan sumber secara bertanggungjawab bukan sahaja membantu memelihara alam sekitar, malah meningkatkan daya saing ekonomi negeri.
Dalam pada itu, tumpuan SAC 4.0 terhadap penyahkarbonan, bangunan mampan dan komoditi utama disifatkan relevan dengan keperluan pembangunan Sabah pada masa hadapan.
Katanya, menerusi Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040, kerajaan berusaha memperkukuh jaminan serta akses kepada bekalan tenaga, di samping membuka peluang dalam sektor tenaga boleh baharu, teknologi baharu dan pelaburan mampan.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan bangunan dan infrastruktur perlu mengambil kira keperluan masyarakat untuk beberapa dekad akan datang.
Mengulas perkembangan pasaran global, Hajiji berkata, permintaan terhadap ketelusan dan pengeluaran yang bertanggungjawab memberi peluang kepada sektor pertanian, perhutanan, perikanan dan akuakultur Sabah untuk meningkatkan kualiti produk, memperluas akses pasaran serta menjana nilai ekonomi yang lebih tinggi.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak organisasi di Sabah menyertai inisiatif Zero Waste to Landfill atau Sifar Sisa ke Tapak Pelupusan, yang menyasarkan pengalihan sekurang-kurangnya 75 peratus sisa operasi daripada tapak pelupusan dalam tempoh 12 bulan.
Menurutnya, organisasi perlu meneroka kaedah mengurangkan sisa, mengguna semula bahan serta mendapatkan kembali bahan yang masih boleh dimanfaatkan.
Hajiji turut mengalu-alukan kesinambungan inisiatif Daripada Kanak-Kanak kepada Kanak-Kanak yang menerima sumbangan RM50,000 daripada Control Union bagi melaksanakan projek kelestarian di sekolah-sekolah di Sabah.
Katanya, inisiatif itu turut menyediakan bimbingan kepada pelajar bagi meningkatkan kesedaran serta membentuk kepimpinan golongan muda dalam usaha membina masa depan yang lebih mampan.
Bagaimanapun, beliau berkata, usaha melaksanakan peralihan ke arah pembangunan mampan tidak boleh digalas kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama sektor perniagaan, institusi kewangan, masyarakat dan rakan strategik.
“Sabah mempunyai aset semula jadi yang bernilai dan kini kita perlu memanfaatkannya untuk mewujudkan kelebihan ekonomi yang berkekalan melalui inovasi, pelaburan, pembangunan kemahiran dan kerjasama strategik, sambil memastikan aset-aset ini terus dilindungi untuk generasi akan datang,” katanya.
