SABAH PERKUKUH HAK EKONOMI, TINGKAT PENYERTAAN DALAM INDUSTRI MINYAK DAN GAS

sabahheadlines
2 Min Read

KUDAT,18 Oktober – Kerajaan Sabah terus memperjuangkan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk hak ekonomi, bagi memperkukuh kedudukan kewangan negeri serta meningkatkan manfaat pembangunan kepada rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri menggunakan pendekatan berasaskan fakta, data kewangan, asas perundangan dan persediaan teknikal dalam memastikan tuntutan Sabah dibawa secara berkesan dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, tuntutan berkenaan kekal menjadi keutamaan kerana berkait rapat dengan keupayaan negeri membiayai pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Yang penting, Sabah mendapat hasil. Yang sudah muktamad, kita laksanakan dan yang masih interim, kita usahakan sehingga dimuktamadkan. Yang belum selesai, kita teruskan rundingan dengan hujah dan asas yang lebih kukuh,” katanya.

Dalam sektor minyak dan gas, Hajiji berkata, pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) bersama PETRONAS pada 2021 menjadi titik penting dalam meningkatkan penyertaan Sabah dalam industri berkenaan.

Menerusi SMJ Energy, Sabah kini memegang 50 peratus kepentingan penyertaan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang, selain mempunyai penyertaan dalam sektor minyak, gas asli cecair (LNG) dan petrokimia.

Penyertaan vendor tempatan turut menunjukkan peningkatan apabila jumlah kontrak meningkat daripada 133 pada 2021 kepada 499 pada 2025.

Menurut Hajiji, matlamat kerajaan bukan sekadar memperoleh hasil daripada pengeluaran minyak dan gas tetapi memastikan rakyat turut menikmati manfaat melalui peluang perniagaan, pembangunan kepakaran tempatan serta penglibatan dalam aktiviti hiliran industri berkenaan.

Beliau berkata, usaha memperkukuh hak ekonomi negeri dan meningkatkan penyertaan dalam industri strategik itu penting bagi memastikan lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan untuk rakyat Sabah.

Share This Article