LELAKI 27 TAHUN DITEMUI MENINGGAL DUNIA SELEPAS KERETA TERBABAS MASUK PARIT

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 2 OKT – Seorang lelaki berusia 27 tahun ditemui meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam parit di Jalan Kawakaan, Kota Kinabalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang, 1 Oktober lalu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bersama BBP Penampang tiba di lokasi pada jam 5.19 petang dan mendapati sebuah kereta jenis Honda WR-V terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit.

Pemeriksaan awal di lokasi mendapati mangsa tidak berada di dalam kenderaan atau kawasan sekitar. Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bersama empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum operasi ditangguhkan pada jam 8.10 malam atas arahan pihak polis.

Pada jam 7 pagi, 2 Oktober, PGO JBPM Sabah menghubungi Balai Polis Inanam bagi mendapatkan perkembangan terkini, namun dimaklumkan tiada maklumat baharu berhubung mangsa.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian disambung pada jam 8.45 pagi oleh pasukan BBP Lintas, sebelum pencarian dijalankan di kawasan parit yang berhubung dengan anak sungai menggunakan kaedah water surface search.

Mangsa berjaya ditemui pada jam 10.28 pagi, kira-kira dua kilometer dari lokasi kenderaan dilaporkan terbabas.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak PDRM di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya atau mangsa lain di kawasan berkenaan.

Operasi membabitkan keseluruhan 28 anggota daripada BBP Lintas, BBP Penampang dan Zon Kota Kinabalu, selain bantuan PDRM.

Share This Article