BANJIR PENAMPANG: 15 KAMPUNG TERJEJAS, EMPAT PPS DIBUKA

sabahheadlines
2 Min Read

PENAMPANG, 2 OKT – Banjir yang melanda daerah Penampang sejak malam tadi menjejaskan sekurang-kurangnya 15 kampung selain menyebabkan beberapa laluan utama dan kawasan penempatan dinaiki air.

Susulan kejadian itu, sebanyak empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan penduduk terjejas dengan keseluruhan 41 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 118 mangsa direkodkan setakat laporan terkini.

Antara PPS yang dibuka ialah PPS Kompleks Sukan yang menempatkan tujuh KIR membabitkan 40 mangsa diikuti PPS Dewan Huguan Siou dengan 11 KIR dan 31 mangsa.

Turut dibuka ialah PPS St Paul Kolopis yang menempatkan tujuh KIR dengan 18 mangsa, manakala PPS Penampang Parish Hall merekodkan 16 KIR membabitkan 29 mangsa.

Kampung yang terjejas meliputi Kampung Penampang Proper, Kolopis, Sarapung, Dabak, Tanaki, Pagansakan, Nambazan, Huba, Kibabaig, Limbanak, Penampang Kondis, Sugud, Pinapah, Vista Kiranau dan Kambau.

Antara kawasan yang dilaporkan dinaiki air termasuk Jalan Tanaki-Bandason, Jalan Vista Kiranau, Jalan Inobong, Jalan Kampung Putaton, Jambatan Pagansakan, Jalan Sarapung, Jalan Kolopis-Boliga, Jalan Bantazon-Kolopis, Jalan Bontozon-Kampung Sarapung, Jalan Huba-Nambazan, Jalan Panglima Banting serta Jalan Kasigui, Kampung Kasigui.

Sementara itu, bacaan paras air Sungai Moyog direkodkan pada 9.12 meter iaitu berada pada paras bahaya sekali gus memerlukan pemantauan berterusan pihak berkuasa.

Situasi banjir dan jumlah mangsa yang terjejas dijangka berubah mengikut keadaan semasa manakala laporan berkaitan akan dikemas kini dari masa ke masa.

Share This Article