BELURAN, 30 SEPT – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) meneruskan komitmen memelihara kedaulatan dan undang-undang menerusi pelaksanaan Operasi Bersepadu daerah Beluran di sekitar laluan Sapi Nangoh hingga Botition yang merekodkan keseluruhan nilai kompaun dan rampasan RM 407,644.69 pada selasa.
Operasi Bersepadu yang melibatkan 184 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan, Jabatan dan agensi Persekutuan serta Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JIM, JKDM, JPJ, KPDN, APM, JPN, SSM, JTK, KWSP serta Majlis Daerah Beluran juga Telupid.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B Sanjos, berkata operasi berkenaan itu dilaksanakan bagi memperkukuh penguatkuasaan secara bersepadu selain memberi tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang, pematuhan peraturan serta usaha membanteras aktiviti penyeludupan khususnya membabitkan rokok dan minuman keras tidak bercukai.
Menurutnya, operasi yang bermula pada 6 pagi hingga 5 petang itu memfokuskan tindakan penguatkuasaan terhadap sasaran yang telah dikenalpasti termasuk pemeriksaan kenderaan secara bersepadi di Road Check Point (RCP) Sapi- Nangoh.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersama ESSCOM merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM114,194.53 termasuk duti.
“Kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Pejabat Kastam Sandakan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 35(1)(d) dan 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam operasi sama, tindakan penguatkuasaan lain berjumlah RM293,450.16 dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah merekodkan nilai tertinggi sebanyak RM207,100.16 termasuk enam kompaun bernilai RM159,000 serta tuntutan tunggakan gaji dan caruman berjumlah RM48,100.16.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula mengeluarkan enam kompaun berjumlah RM30,000 selain tujuh notis pematuhan manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 170 kenderaan dan mengeluarkan 37 saman bernilai RM6,250 atas pelbagai kesalahan trafik.
Turut terlibat Majlis Daerah Beluran yang mengeluarkan kompaun RM100 kepada dua premis atas kesalahan pengurusan sampah manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeriksa 14 majikan dengan mengeluarkan lima notis pemeriksaan serta membuka lima kertas siasatan lanjut.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pula memeriksa 56 individu dan tidak mengesan sebarang kesalahan imigresen manakala Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memeriksa 15 individu dan mengesahkan semua dokumen pengenalan diri adalah tulen dan sah.
Datuk Victor berkata, keberhasilan operasi berkenaan membuktikan kepentingan kerjasama strategik antara pelbagai agensi dalam memastikan aspek keselamatan, pematuhan undang-undang dan pencegahan jenayah dapat dilaksanakan secara menyeluruh di kawasan ESS Zone.
“Operasi bersepadu seumpama ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa di daerah-daerah ESS Zone selaras dengan hasrat ESSCOM ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi mengekang jenayah rentas sempadan, penyeludupan serta keberadaan PATI,” katanya.
ESSCOM pada masa sama menyeru masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di ESS Zone menerusi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072.
