LAHAD DATU, 18 SEPT — Masyarakat bukan sahaja tahu perlu cara mencegah kebakaran, malah mesti mempunyai pengetahuan dan keyakinan untuk bertindak sebagai ‘first responder’ bagi mengawal kebakaran pada peringkat awal sebelum ketibaan pasukan bomba.
Perkara itu ditekankan dalam Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran menerusi program ‘Bomba Day at Darvel Bay Plaza’ anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berlangsung di Darvel Bay Plaza, di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Lahad Datu Samsoa Rashid berkata setiap anggota komuniti mempunyai dua tanggungjawab penting iaitu mencegah kebakaran serta bertindak segera ketika berlaku insiden.
Menurutnya, usaha pencegahan perlu bermula dengan mengenal pasti dan menghapuskan sebarang risiko kebakaran khususnya di premis atau lot perniagaan masing-masing.
“Pengetahuan dan keyakinan menggunakan alat pemadam api dengan betul mampu membantu mengawal kebakaran daripada merebak sementara menunggu ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika menyampaikan ceramah kesedaran pada program berkenaan.
Dalam pada itu, Sumsoa turut menjelaskan mengenai pelaksanaan pindaan 2025 terhadap Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341), khususnya membabitkan keperluan pendaftaran syarikat yang menjalankan kerja mereka bentuk, membekal, memasang dan menyelenggara sistem serta peralatan kebombaan.
Katanya, setiap syarikat yang terlibat diwajibkan berdaftar dengan JBPM dan mempunyai sekurang-kurangnya seorang competent person yang diiktiraf jabatan.
Penguatkuasaan berkenaan dilaksanakan secara berperingkat sejak awal tahun ini.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada JBPM sekiranya mengesan syarikat, kontraktor atau individu tidak berdaftar menjalankan kerja berkaitan pembekalan atau penyelenggaraan alat pemadam api.
Program bertemakan “Cegah Kebakaran, Selamatkan Nyawa” itu turut menampilkan pameran sistem pepasangan kebakaran, peralatan operasi kebombaan, jentera penyelamatan, pameran kerjaya serta demonstrasi keselamatan.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk demonstrasi pemadaman kebakaran dapur gas, penggunaan alat pemadam api, aktiviti bentang dan gulung hos selain ceramah kesedaran serta sudut bergambar.
Program berkenaan diakhiri dengan sesi praktikal penggunaan alat pemadam api jenis debu kering, memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik pemadaman api secara selamat dan berkesan.
