SANDAKAN, 3 SEPT – Semangat cintakan negara terus disemarakkan di Sandakan apabila pertandingan lagu patriotik menjadi antara tarikan utama Car Boot Sale Ambang Merdeka Sandakan 2026.
Putri Nur Alya Syafiqa Jamal yang membawakan lagu Bahtera Merdeka muncul juara pertandingan anjuran Persatuan Dokumentari & Filem Sandakan yang berlangsung di Erama Studio, di bandar ini.
Tempat kedua dimenangi Muhammad Shafiz Sulaiman menerusi lagu Mentera Semerah Padi manakala tempat ketiga diraih Sunarti Sajimin dengan lagu Hati.
Dua lagi peserta yang mara ke peringkat akhir ialah Abdul Titing dan Norsyah Nozy Abdul Sahak.
Pengerusi Persatuan Dokumentari & Filem Sandakan, Datuk Md. Afendi Hamdan berkata penyertaan golongan muda dalam pertandingan itu membuktikan semangat patriotik masih subur dalam kalangan generasi baharu.
Katanya, peserta bukan sahaja berani mengetengahkan bakat dalam bidang seni suara malah turut menggunakan lagu bertemakan kenegaraan sebagai wadah untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan.
“Kita amat bangga apabila melihat golongan muda yang amat bersemangat dan sama-sama menyemarakkan lagi sambutan ini,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran Car Boot Sale itu turut bertujuan memeriahkan suasana malam di bandar Sandakan selain memberi ruang kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka.
Car Boot Sale berkenaan diadakan setiap Sabtu bermula jam 4 petang hingga 12 tengah malam dengan menampilkan pelbagai jualan produk tempatan.
Bagi edisi Ambang Merdeka kali ini program turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa, tarian tradisional serta pertunjukan bunga api hasil kerjasama bersama The Elopura Hotel, Sandakan.
Sementara itu peserta akhir pertandingan lagu patriotik berkenaan menyambut baik penganjuran acara tersebut yang disifatkan sebagai platform untuk mengetengahkan bakat tempatan selain memupuk semangat cintakan negara.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Persatuan Dokumentari & Filem Sandakan, Salleh Jikri.
Pada program sama turut disampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan hiasan car boot terbaik bertemakan Hari Kebangsaan.
Juara Bintang P. Ramlee RTM Sabah 2024, Jamilah Hancus, turut membuat persembahan bagi memeriahkan acara berkenaan.
