MANTAN PENDIDIK TIDAK BERSARA DARIPADA MENYUMBANG – PMPS

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU, 2 SEPT – Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) mahu pengalaman dan kepakaran bekas warga pendidik terus dimanfaatkan bagi menyokong pembangunan pendidikan serta masyarakat di negeri ini.

Presidennya, Dr. Aslie bin Hj. Sahat berkata persaraan daripada perkhidmatan tidak seharusnya dilihat sebagai pengakhiran kepada sumbangan seseorang pendidik dalam dunia pendidikan.

“Mantan pendidik bersara daripada perkhidmatan bukan bersara daripada menyumbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai kunjungan hormat PMPS kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, YBrs. Tuan Hj. Abidin Marjan, di Bilik Mesyuarat Pejabat Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), hari ini.

Kunjungan itu turut disertai Setiausaha Agung PMPS, En. Alli Majittaba, serta ahli delegasi, Hj. Ak. Jiar Pg. Hj. Duraman, Hjh. Maznah Hj. Abd. Ghani dan Hj. Ag. Sani Anong.

Menurut Aslie, mantan pendidik mempunyai pengalaman, ilmu pengetahuan dan kompetensi yang luas yang masih mampu memberikan nilai tambah kepada sektor pendidikan sekiranya disalurkan secara terancang dan strategik.

Katanya, antara kepakaran yang boleh dimanfaatkan melalui PMPS termasuk perkongsian ilmu dan pengalaman, pembangunan profesional serta kompetensi warga pendidikan, kepimpinan dan pengurusan organisasi.

“Selain itu, kami turut mempunyai kepakaran dalam bidang digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), pengurusan berasaskan ISO 9001:2015 dan kitaran PDCA, selain bimbingan kepada sekolah serta komuniti pendidikan,” katanya.

Dalam kunjungan berkenaan, PMPS turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Abidin atas pelantikan beliau sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Sabah selain mendoakan agar beliau diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan keupayaan dalam menerajui JPNS.

Pertemuan itu turut menjadi platform bagi PMPS memperkenalkan matlamat, peranan dan aktiviti persatuan, khususnya usaha menghimpunkan pengalaman, ilmu pengetahuan serta kepakaran mantan pendidik untuk terus menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan masyarakat Sabah.

PMPS juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan JPNS dalam pelbagai program pendidikan, kemasyarakatan dan kebajikan yang bersesuaian dengan kepakaran serta pengalaman ahlinya.

Sehubungan itu persatuan berkenaan mencadangkan agar kerjasama strategik dengan JPNS dapat diteruskan menerusi penganjuran seminar, bengkel, forum, sesi perkongsian ilmu dan program pembangunan kepakaran pada masa akan datang.

Kerjasama berkenaan diyakini dapat mewujudkan platform lebih tersusun untuk memanfaatkan pengalaman serta kepakaran mantan pendidik, sekali gus membantu memperkukuh ekosistem pendidikan Sabah.

PMPS berharap kunjungan hormat itu menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih erat dan berterusan dengan JPNS bagi memastikan pengalaman serta khidmat bakti mantan pendidik terus memberi manfaat kepada generasi pendidik, murid dan masyarakat di Sabah.

Share This Article