GAGASAN RAKYAT LANTIK 25 KETUA BAHAGIAN PENAJA, EMPAT MUKA BAHARU

sabahheadlines
4 Min Read

KOTA KINABALU,30 OGOS – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memperkukuh struktur organisasinya dengan melantik 25 Ketua Bahagian (Penaja) di seluruh Sabah, termasuk empat muka baharu bagi menerajui bahagian Kota Marudu, Putatan, Kalabakan dan Semporna.

Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelantikan itu dibuat selepas parti berkenaan menerima surat kebenaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) susulan pindaan perlembagaan parti pada Mei lalu.

Menurutnya, 25 Ketua Bahagian (Penaja) berkenaan akan bertanggungjawab menguruskan bahagian masing-masing, termasuk menyusun keahlian sebelum senarai anggota dikemukakan kepada ROS dalam masa terdekat.

«“Kita telah pun mendapat surat kebenaran daripada ROS untuk melantik 25 orang penaja ataupun ketua-ketua penaja bahagian di seluruh Sabah.»

«“Inilah ketua-ketua bahagian penaja dan kita akan mengurus bahagian-bahagian ini untuk dihantar senarai anggotanya kepada ROS dalam masa terdekat ini,” katanya.»

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, di sini, pada sabtu.

Empat muka baharu yang dilantik ialah Saripin Magana bagi bahagian Kota Marudu, Shah Alfie Yahya Ahmad Shah (Putatan), Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal (Kalabakan) dan Datuk Dr Mohd Jasmin Julpin (Semporna).

Hajiji berkata, penstrukturan semula bahagian mengikut kawasan Parlimen itu bertujuan memperkukuh struktur organisasi selain memperkasa kepimpinan Gagasan Rakyat di peringkat bahagian.

Katanya, barisan kepimpinan baharu itu menampilkan gabungan pemimpin berpengalaman, tokoh muda dan muka baharu daripada pelbagai latar belakang serta bidang kepakaran.

“Gabungan ini mencerminkan kesungguhan parti membentuk barisan kepimpinan yang lebih dinamik, inklusif dan dekat dengan rakyat.

“Pemilihan 25 Ketua Bahagian (Penaja) dibuat dengan mengambil kira faktor pengalaman, kemampuan memimpin, rekod khidmat kepada masyarakat, penerimaan di peringkat akar umbi serta keupayaan menggerakkan organisasi secara berkesan,” katanya.

Menurut beliau, penglibatan pemimpin senior akan terus menjadi sumber pengalaman dan panduan strategik kepada parti, manakala pemimpin muda serta muka baharu pula mampu membawa idea, pendekatan dan tenaga baharu dalam memperkukuh gerak kerja organisasi.

Hajiji berkata, pelantikan berkenaan bukan sekadar pengisian jawatan sebaliknya sebahagian daripada usaha membina kepimpinan merentas generasi yang mampu bergerak seiring dalam menghadapi cabaran politik serta tuntutan masyarakat semasa.

Katanya, gabungan pengalaman pemimpin senior dengan perspektif baharu pemimpin muda penting bagi memastikan organisasi terus kukuh dan pada masa sama mampu melakukan pembaharuan mengikut perkembangan semasa.

“Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik mempunyai tanggungjawab besar untuk memperkemas organisasi, memperkukuh jaringan akar umbi, memperluas keahlian serta menggerakkan aktiviti di setiap kawasan,” katanya.

Tambah beliau, kekuatan organisasi bukan hanya bergantung kepada individu yang memimpin tetapi turut bergantung kepada kerjasama seluruh pasukan dan keupayaan kepimpinan bahagian menterjemahkan agenda parti dalam bentuk khidmat yang dapat dirasai masyarakat.

“Kita mahu setiap bahagian menjadi organisasi yang hidup, aktif dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

“Ketua Bahagian bukan sekadar memegang jawatan tetapi memikul amanah untuk membina organisasi, menyatukan ahli dan membawa suara masyarakat ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Hajiji berharap pelantikan itu menjadi titik tolak kepada pembentukan saf kepimpinan yang lebih kukuh, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran politik serta tuntutan masyarakat pada masa hadapan.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kesemua 25 Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik dan berharap mereka dapat melaksanakan amanah dengan penuh integriti, komitmen serta semangat berpasukan demi kepentingan parti dan rakyat.

Share This Article