SANDAKAN, 7 OGOS- Usaha kerajaan memperkukuh keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keselamatan di Pantai Timur Sabah diteruskan apabila beberapa perwakilan asing menyertai Program Taklimat dan Tinjauan Keselamatan bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bagi melihat sendiri situasi keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
Program itu disertai perwakilan dari Switzerland, Jerman, Itali, Slovakia, Amerika Syarikat, Finland, Belgium, Republik Czech dan Austria selain wakil daripada Kesatuan Eropah.
Turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainuddin Aman; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman serta Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos.
Sepanjang program itu, rombongan diberi taklimat oleh agensi-agensi keselamatan mengenai pengurusan keselamatan di ESSZone termasuk situasi keselamatan semasa, cabaran yang dihadapi serta strategi dan langkah-langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan bagi memastikan keamanan dan kestabilan di Pantai Timur Sabah terus terpelihara.
Selain sesi taklimat, para perwakilan turut dijadualkan mengadakan lawatan ke beberapa lokasi strategik di ESSZone bagi meninjau sendiri pelaksanaan operasi kawalan keselamatan di lapangan termasuk tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menangani sebarang ancaman.
Program berkenaan memberi peluang kepada para perwakilan untuk melihat sendiri pendekatan bersepadu yang dilaksanakan ESSCOM bersama pelbagai agensi keselamatan dalam memperkukuh kawalan di ESSZone sekali gus meningkatkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap tahap keselamatan dan kestabilan di Pantai Timur Sabah.
Penganjuran program ini juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan maklumat mengenai perkembangan positif keselamatan di ESSZone dapat disampaikan secara terus kepada komuniti diplomatik sekali gus memperkukuh persepsi positif terhadap Sabah sebagai destinasi yang selamat untuk pelaburan dan pelancongan.Kredit-Sabah Media
