WANITA OKU TERPERANGKAP BANJIR DI KAMPUNG AIRPORT KUNAK DISELAMATKAN BOMBA

sabahheadlines
1 Min Read

KUNAK, 25 JULAI – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) berjaya diselamatkan pasukan bomba selepas terperangkap akibat banjir di Kampung Airport, Batu 10, Kunak, petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.07 petang menerusi talian balai.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak yang diketuai PBK I Mohammad Ridzuan Bin Sahidun tiba di lokasi pada jam 3.25 petang, kira-kira 15 kilometer dari balai.

Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kejadian banjir benar-benar berlaku dan terdapat seorang wanita dewasa OKU yang terperangkap akibat kenaikan paras air.

Mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dipindahkan ke rumah saudara-maranya dalam keadaan selamat.

Pasukan bomba kemudian menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan keadaan di kawasan berkenaan kekal selamat dan terkawal.

Tiada pemindahan mangsa lain dijalankan selepas paras air didapati mulai surut dan keadaan kembali terkawal.

Operasi ditamatkan pada jam 5.55 petang.

Seramai tujuh anggota BBP Kunak terlibat dalam operasi itu, membabitkan lima anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua anggota dengan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Share This Article