HAZEM TERAJUI USAHA PERKUKUH BUDAYA INTEGRITI SAWIT KINABALU

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 22 JULAI – Kumpulan Sawit Kinabalu (SKG) melancarkan Buletin Integriti Edisi Pertama 2026 sebagai langkah memperkukuh budaya integriti, tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam organisasi.

Buletin yang diterbitkan oleh Divisyen Integriti dan Governans SKG itu berperanan sebagai platform rasmi untuk meningkatkan kesedaran warga kerja mengenai kepentingan integriti, pematuhan serta pencegahan rasuah selain berkongsi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh syarikat.

Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Dr. Musa, berkata pembudayaan integriti perlu menjadi asas kepada setiap tindakan dan keputusan organisasi bagi memastikan syarikat terus berkembang secara mampan serta mengekalkan kepercayaan pihak berkepentingan.

Sebagai simbol komitmen tersebut beliau menyerahkan Buletin Integriti Edisi Pertama 2026 kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sebagai makluman mengenai usaha berterusan SKG memperkukuh integriti, tadbir urus dan ketelusan dalam pengurusan syarikat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SKG, Datuk Victor Ationg, bersama wakil Divisyen Integriti dan Governans.

Dalam pertemuan itu, Hajiji menyambut baik inisiatif berkenaan dan berharap SKG terus memperkasa pelaksanaan program integriti serta pencegahan rasuah sekali gus menjadi contoh kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain di Sabah dalam mengamalkan budaya kerja yang beretika, telus dan berakauntabiliti.

Share This Article