DUN SABAH:PANTAS PACU PENYELESAIAN TANAH ANAK NEGERI, 25,591 LOT SELESAI DIUKUR

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU, 21 JULAI — Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) terus memperlihatkan kemajuan dalam usaha kerajaan mempercepatkan penyelesaian isu tanah apabila sebanyak 25,591 lot tanah melibatkan keluasan 33,891.81 hektar berjaya diukur di seluruh Sabah sejak Januari 2020 hingga Jun 2026.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, pelaksanaan PANTAS merupakan inisiatif kerajaan bagi mempercepatkan kerja-kerja pengukuran tanah anak negeri yang telah diluluskan, sekali gus memudahkan proses pengeluaran geran kepada pemohon yang layak.

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan, program itu menerima peruntukan sebanyak RM83 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta, manakala bagi tahun ini sebanyak RM1 juta telah disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah bagi pelaksanaan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Usukan, Isnaraissah Munirah Majilis berhubung status pelaksanaan pengukuran tanah, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 53 pasukan jurukur kini ditugaskan menjalankan kerja-kerja pengukuran tanah di seluruh daerah di Sabah bagi memastikan proses berkenaan dapat dipercepatkan.

Katanya, di kawasan Putatan sahaja, empat pasukan jurukur berjaya mengukur sebanyak 5,347 lot tanah melibatkan keluasan 2,998.590 hektar dalam tempoh sama.

“Sehingga 30 Jun 2026, sebanyak 26,808 permohonan tanah masih dalam tindakan di peringkat Pejabat Tanah Daerah di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memperkukuh langkah bagi mempercepatkan pemprosesan permohonan tanah termasuk meningkatkan pemantauan di setiap peringkat, mempercepatkan pengukuran tanah yang telah diluluskan secara sistematik, penggunaan peralatan ukur moden serta memperkasakan pendigitalan Jabatan Tanah dan Ukur.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tempoh penyelesaian sesuatu permohonan bergantung kepada beberapa faktor termasuk status tanah yang dipohon, pertindihan permohonan, keperluan siasatan dan semakan teknikal, kekangan tenaga kerja, pematuhan terhadap Ordinan Tanah Sabah Bab 68 serta dasar kerajaan negeri yang sedang berkuat kuasa.

Dalam usaha meningkatkan kapasiti tenaga kerja, katanya, kerajaan negeri kini dalam proses mengisi 30 jawatan Penolong Jurukur Gred C5 yang sedang diiklankan untuk lantikan baharu.

“Pengisian jawatan ini dijangka meningkatkan kapasiti teknikal jabatan sekali gus mempercepatkan kerja-kerja pengukuran tanah di seluruh Sabah,” katanya.

Menyentuh perkembangan permohonan tanah di kawasan DUN Tamparuli, beliau berkata sebanyak 422 permohonan masih berada pada peringkat mendapatkan ulasan status kesesuaian tanah sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah Tuaran.

Selain itu, sebanyak 341 permohonan telah diluluskan dan sedang menunggu proses pengukuran, manakala 219 permohonan telah selesai diukur dan kini dalam proses pemeriksaan pelan ukur serta penyediaan geran tanah.

Beliau menegaskan kerajaan negeri kekal komited memastikan proses penyelesaian permohonan tanah dan pengeluaran geran anak negeri kepada rakyat yang layak dilaksanakan secara teratur, telus serta mematuhi peruntukan undang-undang.

Share This Article