DUN SABAH:SHAFIE BANGKIT ISU PELANCONG CHINA BERNIAGA, KERAJAAN AKAN AMBIL TINDAKAN TEGAS

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU,20 JULAI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Mohd Shafie Apdal membangkitkan kebimbangan mengenai dakwaan pelancong dari China yang menjalankan aktiviti perniagaan di Sabah sambil menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan yang didakwa menjejaskan usahawan tempatan serta mengakibatkan ketirisan pendapatan negara.

Isu itu dibangkitkan ketika sesi soal jawab pada hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 Isnin .

Dalam soalan tambahannya, Shafie berkata kehadiran pelancong ke Sabah sepatutnya membantu memperkukuhkan ekonomi negeri melalui peningkatan pendapatan, pembukaan peluang pekerjaan dan pembangunan usahawan tempatan, bukannya menjalankan aktiviti perniagaan.

Beliau turut mendakwa terdapat pelancong asing yang beroperasi di beberapa lokasi pelancongan terkenal, termasuk di Semporna.

“Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat, bila dan apakah tindakan tegas diambil oleh pihak Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah usahawan yang juga pelancong datang dari China ke daerah-daerah di Bumi Sabah ini. Mereka beroperasi.

“Dua minggu yang lalu saya pergi Semporna, saya pergi Bohey Dulang dan kebimbangan saya, resort itu bukan milik orang tempatan. Ini akan mematikan usahawan tempatan.Bukan kita mahu pelancong dari China datang untuk menjadi usahawan tetapi menjadi pelancong..

“…Mereka gunakan Alipay dan bayaran mereka langsung ke China. Tidak ada pendapatan dalam negara kita. It’s foregone income. Mereka gunakan visa tidak gunakan pasport. Saya minta kepada Yang Berhormat Menteri, apakah tindakan tegas?” katanya.

Menjawab perkara itu, Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar Sbah,Datuk Jafry Ariffin berkata kementeriannya memandang serius isu berkenaan dan sedang mengumpul data dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pejabat daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum tindakan lanjut diambil.

“Kita telah turun ke bawah bersama-sama dengan MOTAC, pejabat daerah dan juga pihak PBT yang terlibat bagi memastikan masalah yang diutarakan oleh Yang Berhormat Senallang dapat kita ambil tindakan.

“Ini melibatkan pelbagai agensi yang mempunyai bidang kuasa masing-masing yang perlu kita selaraskan dan saya amat yakin masalah ini akan dapat kita selesaikan..Sebelum saya mengemukakan perkara ini kepada Jemaah Menteri, kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya.»

Sementara itu, ketika menjawab soalan asal ADUN Tanjong Papat, Alex Thien Ching Qiang, Jafry berkata kementerian buat masa ini belum mempunyai perancangan untuk menubuhkan cawangan rasmi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) di Sandakan dan Tawau.

Beliau berkata urusan penyelarasan, promosi dan pembangunan pelancongan di Pantai Timur Sabah terus dilaksanakan melalui ibu pejabat STB di Kota Kinabalu dengan kerjasama agensi berkaitan, pihak berkuasa tempatan, pejabat pelancongan daerah, persatuan pelancongan serta pemain industri di Sandakan dan Tawau.

Bagaimanapun, katanya, kementerian bersama MOTAC sedang merancang menubuhkan sebuah pejabat di Semporna bagi memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan serta pengurusan pembangunan pelancongan di kawasan Pantai Timur Sabah.

Share This Article