ZIZIE IZETTE BEBAS TUDUHAN BERSUBAHAT KES RASUAH RM2.8 JUTA

sabahheadlines
4 Min Read

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan bersubahat kes rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad memutuskan perkara itu selepas berpuas hati pasukan pembelaan Zizie Izette berjaya menimbulkan keraguan dalam kes berkenaan berdasarkan keterangan dan hujahan kedua-dua pihak dan autoriti yang dikemukakan.

“Mahkamah ini memutuskan bahawa tertuduh berjaya menimbulkan keraguan dalam kes ini. Pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes yang melampaui keraguan munasabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perenggan 173(m)(i) Kanun Acara Jenayah (KAJ).

​”Oleh yang demikian, mahkamah ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan pindaan di bawah Perenggan 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Oleh itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan bagi ketiga-tiga pertuduhan pindaan ini,” katanya ketika membacakan keputusan itu.

Rosli berkata jaminan turut dibatalkan dan dipulangkan kepada penjamin serta pasport dipulangkan kepada pemilik dengan syarat tambahan juga dibatalkan.

Sepanjang prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Mohd Fadhly Mohd Zamry manakala Zizie Izette diwakili peguam-peguam K Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Mohd Fadhly berkata pihak belum memutuskan sama ada akan merayu keputusan itu dan akan menunggu arahan seterusnya dari Peguam Negara.

Zizie Izette, 48, balu kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya bagi memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2.8 juta.

Pasukan pembelaan menutup kesnya selepas Zizie Izette selesai memberikan keterangan membela diri pada 5 Mac lalu manakala Bung Moktar memberikan keterangan pada 2 September 2025 selepas pasangan suami isteri itu gagal mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu pada 18 November 2024 selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu oleh Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023 yang membebaskan pasangan terbabit daripada pertuduhan itu.

Mahkamah Tinggi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 16 Januari lalu Mahkamah Sesyen membebaskan Bung Moktar daripada ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap bekas ahli politik itu yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025.

Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid.

Suapan itu didakwa sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.

Beliau juga dituduh bersubahat dengan suaminya untuk memperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.

Kredit sumber: Berita Harian

Share This Article