SANDAKAN, 14 JULAI – Seorang warga emas mengalami sesak nafas selepas sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah Batu 12, Sungai Manila terbakar dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari tadi.
Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Batu 12 bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Kebakaran berjaya dikawal dengan pantas oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sekali gus mengelakkan api daripada merebak ke rumah-rumah berhampiran.
Turut berada di lokasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sandakan serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.51 Sungai Manila bagi membantu mengawal keselamatan kawasan dan memastikan operasi menyelamat berjalan lancar.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan aspek keselamatan di kediaman masing-masing berada pada tahap terbaik serta segera menghubungi talian kecemasan sekiranya berlaku sebarang insiden.
