LELAKI DIDENDA RM194,000 KERANA BEKALKAN ELEKTRIK SECARA HARAM DI KAMPUNG KAGAYAN

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 10 JULAI – Seorang lelaki didenda keseluruhan RM194,000 oleh Mahkamah Sesyen Sandakan selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan berkaitan pembekalan dan penyambungan bekalan elektrik secara haram di Kampung Kagayan.

Tertuduh, Zaini Mubin didapati melakukan kesalahan membekalkan serta mengambil bekalan elektrik secara haram melalui sambungan terus daripada talian milik Sabah Electricity tanpa lesen, selain mengganggu pepasangan elektrik sehingga membahayakan keselamatan awam.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang merupakan pemegang dokumen IMM13 dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Oleh kerana gagal membayar jumlah denda yang dikenakan tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara seperti yang diputuskan oleh mahkamah.

Pendakwaan menegaskan bahawa kesalahan tersebut bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada penyedia utiliti malah membahayakan nyawa orang ramai.

Siasatan turut mendapati tertuduh menjual bekalan elektrik yang dicuri kepada lapan buah rumah setinggan selama kira-kira dua tahun bagi mendapatkan keuntungan.

Kes ini menjadi peringatan bahawa sebarang aktiviti penyambungan dan pembekalan elektrik secara haram merupakan kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Share This Article