TAWAU , 11 JUN-Tindakan pantas polis berjaya menumpaskan kegiatan pecah masuk sebuah premis di bandar ini apabila dua lelaki, termasuk seorang warga asing, diberkas kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan di sebuah bilik penginapan hasil risikan dan maklumat yang dikumpulkan oleh pasukan Strike Team Balai Polis Tawau.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi turut menemukan pelbagai barangan dipercayai hasil curi, antaranya kamera, lensa kamera, komputer riba serta aksesori fotografi yang dipercayai berkaitan dengan kes berkenaan.
Beliau berkata, suspek bertindak agresif ketika ditahan menyebabkan anggota polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum bagi memastikan operasi berjalan lancar dan selamat.
Siasatan awal mendapati kejadian disedari mangsa selepas mendapati pintu gulungan besi premisnya diumpil dan beberapa barangan di dalam premis hilang. Semakan lanjut juga mendapati seorang daripada suspek tempatan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, manakala polis menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
