RANAU, 7 JUN-Laluan alternatif yang menghubungkan Ranau ke Kota Kinabalu melalui Randagong dan Bundu Tuhan sebelum menuju ke Kiulu atau Tambunan kini semakin mendapat perhatian pengguna jalan raya kerana menawarkan perjalanan yang lebih lancar dan fleksibel khususnya ketika berlaku kesesakan di laluan utama.
Beberapa pengguna yang ditemui berkata, laluan berkenaan bukan sahaja membantu menjimatkan masa perjalanan malah memudahkan urusan kerja harian serta menyokong aktiviti ekonomi penduduk yang kerap berulang-alik antara Ranau dan Kota Kinabalu.
Affzan Afif Azman, 29, berkata laluan melalui Kiulu sering menjadi pilihannya terutama apabila berlaku kesesakan di Jalan Tamparuli-Ranau.
“Apabila trafik sesak khususnya pada hujung minggu atau musim cuti laluan melalui Kiulu mampu menjimatkan masa perjalanan antara 30 minit hingga satu jam berbanding menunggu dalam kesesakan di laluan utama,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Affzan, perjalanan yang lebih lancar membolehkannya menguruskan urusan kerja dengan lebih teratur dan tiba di destinasi mengikut jadual yang dirancang.
Beliau yang berasal dari Taman Saujana Kinabalu turut berkata penggunaan laluan alternatif itu memberinya peluang untuk singgah di kawasan Karanaan bagi bertemu saudara-mara dan rakan-rakan selain menikmati pemandangan kawasan luar bandar yang jarang dilalui ketika menggunakan laluan utama.
Sementara itu Haziq Zainulariffin, 29, berpendapat kewujudan jalan alternatif tersebut memberi lebih banyak pilihan kepada penduduk dan pelancong yang berulang-alik antara Ranau dan Kota Kinabalu.
“Walaupun jaraknya mungkin sedikit lebih jauh namun perjalanan lebih lancar dan konsisten. Pengguna tidak perlu terlalu bergantung kepada satu laluan sahaja.
“Pada masa sama pemandu perlu sentiasa peka dan memandu dengan cermat ketika menggunakan jalan ini. Ia membantu mereka yang mempunyai urusan rasmi, perniagaan atau komitmen kerja merancang perjalanan dengan lebih baik,” katanya.
Haziq yang kerap berulang-alik dari Telipok ke Ranau pada hujung minggu dan musim cuti berkata laluan tersebut banyak membantu mengurangkan risiko terperangkap dalam kesesakan yang sering berlaku di laluan utama.
Bagi Matthew J, 46, laluan alternatif melalui Penampang-Tambunan-Ranau pula menjadi pilihan kerana mampu mengurangkan risiko kelewatan, terutama apabila berlaku kesesakan di kawasan bandar.
“Laluan ini memberi pilihan kepada pengguna untuk mengelakkan kesesakan, khususnya di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang pada waktu puncak.
Ia membolehkan perjalanan menjadi lebih lancar serta membantu mereka yang mempunyai urusan kerja atau perniagaan tiba di destinasi tepat pada masanya,” katanya.
Matthew yang merupakan pembekal buah-buahan dan sayur-sayuran di sekitar Tambunan dan Penampang berkata kesesakan jalan raya kini menjadi cabaran biasa sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Ketiga-tiga mereka sependapat bahawa laluan alternatif berkenaan bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan malah membuka akses yang lebih baik ke kawasan luar bandar, memudahkan pergerakan penduduk setempat serta menyokong pertumbuhan aktiviti ekonomi dan pelancongan di kawasan yang dilalui.
Mereka berharap usaha menaik taraf serta menyelenggara laluan tersebut dapat diteruskan bagi memastikan ia kekal selamat, selesa dan mampu menampung peningkatan jumlah pengguna pada masa hadapan.
Kredit sumber: Sabah Media
