TONGOD,20 MEI- Kerajaan negeri memberi jaminan daerah Tongod tidak akan tercicir daripada arus pembangunan menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan pedalaman.
Ketua Menteri Sabah,Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sepanjang tahun lalu hingga pertengahan tahun ini Tongod merekodkan perkembangan positif dalam pelbagai sektor termasuk infrastruktur, ekonomi, pendidikan dan pelancongan lestari.
Menurut beliau, kerajaan negeri komited memperkukuhkan jaringan jalan raya yang menghubungkan Tongod dengan daerah luar seperti Keningau, Telupid, Sandakan dan Tawau bagi meningkatkan mobiliti rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi kawasan pedalaman.
Katanya, Tongod mempunyai kawasan tanah yang luas dan berpotensi untuk pembangunan pertanian moden, sekali gus membuka peluang kepada rakyat meningkatkan pendapatan menerusi pertanian komersial.
“Kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai insentif bagi membantu transformasi pertanian sara diri kepada pertanian komersial yang lebih berdaya maju,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod Tahun 2026 di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod, pada Rabu.
Beliau turut menegaskan pembangunan modal insan terus diberi perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda di kawasan pedalaman menerusi pelaburan dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran.
Selain itu, Tongod juga disifatkan memiliki potensi besar dalam sektor eko-pelancongan melalui Kawasan Konservasi Kanyon Imbak yang mampu dibangunkan sebagai hab pelancongan lestari Sabah.
Dalam pada itu, Hajiji berkata pembangunan pelancongan perlu diseimbangkan dengan usaha memelihara budaya dan alam sekitar termasuk memperkasakan produk kraf tangan, makanan tradisi serta inap desa masyarakat tempatan.
Mengulas isu bekalan air di Tongod, beliau berkata masalah itu akan diatasi menerusi pelaksanaan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) menggunakan peruntukan lebih RM4 bilion yang disalurkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada kerajaan negeri.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan agenda pembangunan Sabah dapat dilaksanakan secara berterusan demi kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Hajiji berkata cadangan pembinaan pekan baharu Tongod akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat swasta di tanah milik mereka sendiri termasuk pembinaan pejabat kerajaan.
Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan 239 geran tanah NT membabitkan keluasan 583.38 hektar kepada rakyat Tongod.
