SABAH FC JUARA MFL CHALLENGE CUP 2026

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 24 APRIL — Pasukan Sabah FC mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menjulang kejuaraan MFL Challenge Cup 2026 selepas menewaskan Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 4-3 di Stadium Likas.

Kejayaan ini merupakan detik yang amat bermakna buat arena bola sepak Sabah khususnya selepas penantian panjang untuk melihat pasukan negeri kembali merangkul trofi dalam saingan domestik.

Perlawanan akhir yang berlangsung dalam suasana penuh debaran itu menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan ketahanan mental, disiplin tinggi serta semangat juang yang luar biasa sehingga perlawanan terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti.

Menteri Pembangunan Belia dan Sukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyokong yang hadir memenuhi Stadium Likas serta memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan.

Menurut beliau, sokongan padu tersebut menjadi antara faktor penting yang menyuntik semangat kepada para pemain, khususnya pada saat-saat genting.

Sementara itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor turut merakamkan ucapan tahniah kepada Sabah FC atas kejayaan cemerlang ini. Beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sabah bersetuju untuk memberikan bonus kemenangan sebanyak RM500,000 kepada pasukan sebagai tanda penghargaan.

Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Belia dan Sukan serta Ekonomi Kreatif Sabah juga bersetuju untuk menyalurkan insentif tambahan sebanyak RM200,000 bagi menghargai pencapaian gemilang pasukan.

Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak negeri secara berterusan serta memberi inspirasi kepada generasi muda Sabah untuk terus aktif dalam bidang sukan.

Kerajaan negeri melalui kementerian berkaitan akan terus komited dalam menyokong usaha memperkasa pembangunan sukan, selaras dengan aspirasi melahirkan lebih ramai bakat berpotensi dari negeri ini.

Share This Article