KOTA KINABALU, 23 APRIL- Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta semua kedudukan berkaitan kerajaan berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan secara rasmi dalam pertemuan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang juga Pengerusi GRS, pada 21 April lalu.
Seiring keputusan tersebut, Mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) USNO yang bersidang pada 22 April turut mencapai kata sepakat untuk parti itu menarik diri daripada gabungan GRS.
Menurut kenyataan, langkah berkenaan dibuat selepas mengambil kira ketidaksepadanan dalam beberapa aspek pentadbiran dan hala tuju dasar, khususnya susulan perkembangan politik pasca Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17.
USNO dalam masa sama menegaskan pendiriannya untuk terus bergerak sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat tempatan Sabah, selain memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan.
Dalam kenyataan itu, parti berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan GRS serta semua parti komponen atas kerjasama yang terjalin sebelum ini.
USNO juga memberi jaminan akan terus komited membawa suara golongan yang terpinggir serta memperjuangkan agenda rakyat di negeri ini.
