EKONOMI SABAH DIJANGKA KEKAL BERDAYA TAHAN HADAPI CABARAN GLOBAL – KM

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU, 30 Mac – Ekonomi Sabah dijangka terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik geopolitik yang berpanjangan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata keyakinan itu didorong oleh pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menjadi kerangka utama pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menurut beliau, kestabilan pentadbiran selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk memperhebat usaha memperkukuh ekonomi serta mempercepat pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan strategik.

“Hala Tuju SMJ 2.0 yang dilancarkan baru-baru ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri, selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 sehingga tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri sempena sambutan ulang tahun ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Mengulas cabaran global, Hajiji menjelaskan konflik di Timur Tengah dan Eropah Timur memberi kesan langsung terhadap kestabilan bekalan tenaga dunia, sekali gus berpotensi mencetuskan tekanan ekonomi termasuk kenaikan kos sara hidup.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat agar mengamalkan perbelanjaan berhemah serta menggunakan sumber tenaga secara bijak dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berjimat dalam penggunaan air berikutan peningkatan suhu global yang boleh membawa kepada fenomena kemarau berpanjangan.

“Langkah pencegahan seperti mengelakkan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas melampau amat penting bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menyentuh strategi pertumbuhan baharu, beliau berkata kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada pembangunan Ekonomi Biru sebagai antara pemacu utama di bawah SMJ 2.0, memanfaatkan kelebihan sumber maritim dan biodiversiti Sabah.

Katanya, pendekatan itu merangkumi pembangunan sektor bioteknologi marin, perikanan berteknologi tinggi, akuakultur moden serta pelancongan lestari, di samping memperkasa peranan sungai sebagai pemangkin ekonomi luar bandar.

“Inisiatif ini bukan sahaja menjana nilai ekonomi tinggi, malah menitikberatkan pemeliharaan alam sekitar termasuk kawasan pesisir, hutan bakau dan terumbu karang,” katanya.

Beliau menambah, sektor perikanan dan akuakultur di bawah Ekonomi Biru berpotensi menjana pendapatan sehingga RM3.25 bilion setahun kepada negeri.

Dalam perkembangan sama, Hajiji menegaskan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan semua projek pembangunan dapat dilaksanakan secara cekap dan berimpak tinggi.

Katanya, projek melibatkan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, keselamatan serta kebajikan rakyat akan terus dipantau rapi bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual.

Mengakhiri ucapan, beliau menyeru semua pihak termasuk penjawat awam dan sektor swasta untuk terus berganding bahu dalam memperkukuh usaha pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Sabah.

Share This Article