Pesuruhjaya Polis Sabah Sempurnakan Sambutan Hari Polis Ke-219 di Kota Kinabalu

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 25 Mac — Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 peringkat Kontinjen Sabah berlangsung meriah apabila Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun menyempurnakan majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Majlis berkenaan menjadi medan penting dalam menyemarakkan semangat setia kawan, disiplin serta integriti dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), selari dengan aspirasi pasukan untuk terus memperkukuh tahap profesionalisme dan kecekapan dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.

Dalam ucapannya, penekanan turut diberikan kepada perutusan Ketua Polis Negara yang menggariskan tiga fokus utama berserta tujuh hala tuju dan sepuluh agenda transformasi sebagai pelan strategik ke arah memperkasakan organisasi itu.

Pendekatan berkenaan dilihat mampu meningkatkan keupayaan PDRM sebagai pasukan keselamatan yang lebih berdaya saing, cekap serta dihormati, sejajar dengan landskap keselamatan yang semakin kompleks.

Pada masa sama, penghargaan turut dizahirkan kepada seluruh warga PDRM Kontinjen Sabah atas komitmen dan pengorbanan dalam memastikan keamanan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rani Alias; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Azmi Abd Rahim; Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sabah, Datuk Abdul Fuad Abdul Malek; Ketua Jabatan Pengurusan Sabah, SAC Ahsmon Bajah, selain pegawai kanan, anggota, pegawai awam, wakil PERKEP serta rakan media.

Majlis berlangsung dalam suasana penuh tertib, mencerminkan komitmen berterusan pasukan dalam memartabatkan perkhidmatan serta mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM.

TAMAT

Share This Article