SANDAKAN, 22 Mac: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan berjaya mengawal keadaan selepas sebatang pokok besar tumbang dan menimpa kawasan halaman sebuah kediaman di Taman Pecky Valley, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, pokok jenis kapuk dengan anggaran ketinggian kira-kira 30 kaki dilaporkan rebah sebelum menghempap kawasan luar rumah berkenaan. Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kerosakan serius dilaporkan.
Pasukan APM yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke lokasi dan menjalankan operasi pembersihan dengan menggunakan peralatan khas serta kelengkapan perlindungan diri (PPE).
Kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok berjaya diselesaikan sepenuhnya sekitar jam 8.25 pagi, sekali gus memastikan kawasan berkenaan kembali selamat.
Operasi berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
TAMAT
