KOTA KINABALU, 12 Mac : Kerajaan Negeri Sabah akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM10,000 kepada keluarga seorang lelaki warga emas yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Sandakan, awal pagi Rabu.
Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri, Datuk Awang Shahminan Sahari berkata, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Tuan Walter Kenson telah diarahkan supaya segera mengesan waris mangsa bagi memastikan bantuan tersebut dapat disampaikan tanpa kelewatan.
Menurut beliau, mangsa yang dikenali sebagai Agustine J. Lingam, 76, dilaporkan berada di kawasan sebuah hotel ketika cuba menghidupkan generator sebelum runtuhan tanah dari kawasan berhampiran menimbusnya.
Kejadian berkenaan turut disahkan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung.
Dalam perkembangan lain, Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah memaklumkan bahawa sehingga jam 12 tengah hari, seramai 1,306 penduduk terjejas akibat banjir di daerah Kota Marudu, Paitan dan Pitas.
Bencana itu dilaporkan menjejaskan kira-kira 40 kampung di tiga daerah terbabit.
TAMAT
