KOTA KINABALU, 10 Mac – Sebanyak 2,500 bubur lambuk dimasak dan diagihkan dalam Program Kongsi Rezeki Bubur Lambuk anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sabah, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Pertama Maritim Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, program tersebut bukan sekadar aktiviti memasak bubur lambuk malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan di negeri ini.
Menurutnya, bubur lambuk berkenaan dimasak secara gotong-royong sebelum diagihkan kepada warga kerja pelbagai agensi dan jabatan yang hadir dalam program tersebut.
“Program ini menjadi ruang untuk kita berkongsi rezeki dan mengukuhkan kerjasama antara agensi sepanjang Ramadan,” katanya.
Program berkenaan dikendalikan oleh Kelab Kebajikan dan Sukan Maritim Malaysia (KESMAR) bagi pihak Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan yang dipengerusikan Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil.
Dalam pada itu, INTAN Kampus Sabah turut menyediakan fasiliti serta sokongan logistik bagi memastikan kelancaran program yang dijalankan secara gotong-royong.
Antara jabatan yang menerima agihan bubur lambuk ialah Pejabat Daerah Tuaran, Markas Armada Timur, Jabatan Laut Malaysia (JLM), Politeknik Kota Kinabalu, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu, Sekolah Kebangsaan Lapasan serta Jabatan Sukarelawan Malaysia melalui Pusat Latihan RELA.
Turut hadir mewakili Pengarah Wilayah INTAN Kampus Sabah ialah Presiden Kelab KERIS, Josliw Matjumping.
Khairulanuar berkata, program seumpama itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Ramadan, malah memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan warga perkhidmatan awam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut yang disifatkan sebagai usaha kecil tetapi membawa makna besar dalam menyemai nilai perkongsian dan kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.
TAMAT
