KOTA KINABALU: Situasi banjir di Sabah menunjukkan peningkatan apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat perlindungan mencecah 2,288 orang daripada 935 keluarga setakat jam 8 pagi tadi.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), bencana itu menjejaskan 140 kampung di enam daerah dengan 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta Pusat Pemindahan Kekal (PPK) kini beroperasi bagi menempatkan penduduk terjejas.
Daerah Beaufort merekodkan pertambahan paling ketara apabila 945 mangsa daripada 291 keluarga dipindahkan ke beberapa PPS, membabitkan 58 kampung yang terkesan.
Di Pitas, keadaan dilaporkan tidak berubah dengan 528 mangsa daripada 318 keluarga masih berlindung di PPS melibatkan 46 kampung. Sipitang pula mencatatkan 421 mangsa daripada 176 keluarga membabitkan 21 kampung.
Sementara itu, jumlah mangsa di Membakut menunjukkan penurunan kepada 315 orang daripada 125 keluarga. Di Sook, seramai 79 mangsa daripada 25 keluarga masih ditempatkan di PPS, manakala Tenom sedang menjalankan proses pendaftaran mangsa terjejas.
Antara pusat pemindahan yang masih beroperasi ialah Dewan Terbuka Kanibongan dan Dewan Sinukab Kanibongan di Pitas; PPK Selagon serta Dewan DUN Banir di Beaufort; Dewan Kesenian Islam dan SMK St Patrick di Membakut; Dewan Mini Mesapol, Dewan SK Padang Berampah serta Dewan SMK Padang Berampah di Sipitang; selain Dewan SLDB Dalit Gana di Sook.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan semasa dan menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pemindahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
TAMAT
