Dua Lelaki Ditahan, Syabu Disorok Dalam Botol Gula-Gula

sabahheadlines
1 Min Read

SIPITANG, 22 Feb – Tindakan mencurigakan sebuah kenderaan membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan oleh anggota Unit Mobile Patrol Vehicle (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang dalam pemeriksaan di Batu 7, Jalan Samur, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, pasukan peronda menahan sebuah pacuan empat roda berwarna hitam untuk pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 49 dan 46 tahun itu, polis menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam botol gula-gula.

Rampasan dianggarkan seberat 0.78 gram. Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Sipitang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD berkenaan bagi siasatan lanjut. Polis turut memaklumkan bahawa prosedur tangkapan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu usaha penguatkuasaan.

TAMAT

Share This Article