KOTA BELUD, 21 Februari — Sebanyak 14 buah rumah jenis separuh kekal terjejas dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Melangkap Kapa di sini pagi tadi namun tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 10.57 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 36 kilometer dari balai.
Menurut Komander Operasi, PBK I Suffian Aban, kebakaran melibatkan keseluruhan keluasan anggaran 148 x 82 kaki dengan 10 buah rumah musnah sepenuhnya manakala empat lagi mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus.
Beliau berkata, operasi pemadaman berdepan cabaran apabila jentera Fire Rescue Tender (FRT) tidak dapat memasuki kawasan kejadian berikutan laluan yang sempit serta keadaan jambatan yang tidak kukuh.
“Pasukan bomba menjalankan operasi menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan serta menggunakan pam angkut dengan sumber air terbuka dari sungai berhampiran,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.21 tengah hari sebelum operasi overhaul dilakukan bagi memastikan tiada punca api berulang.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.15 petang selepas pihak bomba mengesahkan kawasan berada dalam keadaan selamat.
Seramai sembilan anggota terlibat dalam operasi termasuk tujuh anggota BBP Kota Belud dan dua anggota Pasukan Bomba Sukarela Pangkalan Abai dengan bantuan agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Komander Operasi Kanan, PPgB Elge Bakuk yang juga Ketua Balai BBP Kota Belud memaklumkan punca kebakaran masih dalam siasatan.
TAMAT
