Mangsa Banjir Sabah Cecah 3,685 Orang, Trend PPS Meningkat di Tiga Daerah

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 21 Feb —Jumlah mangsa banjir di Sabah terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 3,685 penduduk daripada 1,593 ketua isi rumah direkodkan terjejas setakat jam 8 pagi hari ini.

Menurut laporan perkembangan harian yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, tiga daerah utama terlibat ialah Kota Marudu, Pitas dan Paitan dengan keseluruhan 47 kampung terjejas.

Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,978 orang daripada 925 ketua isi rumah melibatkan 12 kampung diikuti Pitas dengan 1,515 mangsa daripada 593 ketua isi rumah di 30 kampung manakala Paitan merekodkan 192 mangsa daripada 75 ketua isi rumah di lima kampung.

Trend jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dilaporkan meningkat khususnya di beberapa PPS di Kota Marudu dan Paitan manakala sebahagian PPS di Pitas kekal.

Antara PPS yang menempatkan mangsa termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek, Sekolah Kebangsaan Taritipan dan SMK Bandau di Kota Marudu selain beberapa sekolah dan dewan komuniti di Pitas serta Paitan.

Setakat ini tiada kematian dilaporkan akibat bencana dan tiada penduduk dilaporkan terperangkap di luar PPS.

Pihak berkuasa melalui Pusat Kawalan Bencana Negeri terus memantau situasi semasa dan menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas selain menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

TAMAT

Share This Article