Tiga Cedera Dalam Kemalangan Dua Kenderaan Di Jalan Tuaran–Serusup

sabahheadlines
1 Min Read

TUARAN, 18 Feb — Tiga lelaki cedera dan seorang lagi selamat dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Tuaran Simpang Serusup, awal pagi tadi.

Pusat Gerakan menerima panggilan kecemasan pada jam 3.25 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira lapan minit kemudian selepas menempuh jarak enam kilometer.

Komander Operasi, PBK II Easter Hassan memaklumkan kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga Aeroback dan sebuah Perodua Alza.

Menurutnya, tiga mangsa yang berada di dalam Proton Saga Aeroback berusia 18 hingga 24 tahun dilaporkan mengalami kecederaan.

Kesemua mangsa diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) di lokasi sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu Perodua Alza berusia 45 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi yang melibatkan lapan anggota bersama satu jentera FRT dan satu unit EMRS dikawal sehingga keadaan disahkan selamat sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.55 pagi.

Pihak bomba turut memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditutup.

TAMAT

Share This Article