Bengkel dan Kedai Basikal di Penampang Musnah 85 Peratus Dalam Kebakaran.

sabahheadlines
2 Min Read

PENAMPANG, 17 FEBRUARI – Sebuah bengkel motosikal dan kedai basikal dua tingkat mengalami kerosakan teruk selepas terbakar dalam kejadian di premis Castrol Bike Point milik Syarikat Soon Cheong di sini, tengah hari kelmarin.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 11.17 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian dengan jarak perjalanan sejauh empat kilometer.

Menurut Komander Operasi, kebakaran melibatkan satu blok bangunan jenis kekal berkeluasan kira-kira 40 x 30 kaki persegi yang menempatkan bengkel dan kedai basikal dengan kemusnahan dianggarkan sebanyak 85 peratus.

Seramai 34 anggota bomba daripada BBP Penampang bersama bantuan BBP Kota Kinabalu dan BBP Putatan digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.

Operasi turut dibantu beberapa agensi lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Air.

Pasukan bomba menjalankan kerja pemadaman menggunakan tiga aliran hos sepanjang 200 kaki dengan lima pancutan air yang diperoleh daripada jentera tangki air serta pili bomba berhampiran kawasan tersebut.

Selain itu sebanyak 14 tong buih pemadam kebakaran berkapasiti 20 liter setiap satu turut digunakan bagi mengawal api.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.30 tengah hari dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.45 petang selepas pemeriksaan lanjut mendapati tiada lagi bahaya di lokasi.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Operasi diketuai Komander Operasi Kanan, PPgB Mohammad Hannis Mokhtar bersama Komander Operasi PBK II Peter Pius dengan pemantauan Pegawai Kanan Bahagian Operasi Negeri dan pegawai kanan zon.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

TAMAT

Share This Article