PAPAR, 17 FEBRUARI – Seorang nelayan dilaporkan masih hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut ketika menjalankan aktiviti memukat di perairan Pantai Manis, Kampung Kuala, PAPAR dalam kejadian pagi kelmarin.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 10.44 pagi melalui Balai Polis Papar memaklumkan terdapat mangsa dikhuatiri hilang di laut.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian dengan jarak perjalanan sejauh lapan kilometer.
Menurut maklumat awal dua lelaki terlibat dalam insiden berkenaan.
Seorang mangsa, Primus Bin Ujim, 52, berjaya ditemui dalam keadaan selamat manakala seorang lagi Saimon Bin Ongit, 60, masih belum dijumpai.
Pasukan bomba bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah pencarian permukaan dengan bot bomba sejauh kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Memasuki hari kedua operasi pasukan SAR bergerak ke lokasi seawal jam 6.45 pagi dengan membawa bot aluminium untuk meneruskan pencarian.
Operasi kemudian diperluaskan bersama agensi terlibat di sepanjang persisiran pantai dan kawasan perairan bermula jam 9 pagi.
Pada jam 12 tengah hari sebuah boya berwarna oren milik bot yang dipercayai karam ditemui terapung kira-kira 300 meter dari pesisir pantai sekali gus menjadi petunjuk tambahan kepada pasukan pencari.
Bagaimanapun, mangsa masih belum ditemui setakat ini.
Operasi SAR ditangguhkan pada jam 6 petang atas faktor keselamatan dan akan disambung semula pada keesokan hari.
Operasi diketuai Komander Operasi Kanan, PPgB Rozlan Bin Osman bersama Komander Operasi PBK I Imamat bin Tawarid dengan kekuatan 10 anggota serta aset termasuk jentera FRT, EMRS dan sebuah bot.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu operasi pencarian.
TAMAT
