KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina bersama masyarakat setempat di Tokong Puh Toh Sih, Likas, pagi ini.
Beliau berkata, sambutan mesra yang diberikan oleh jawatankuasa tokong serta pengunjung yang hadir mencerminkan semangat muhibah dan perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Menurutnya, perayaan seperti Tahun Baharu Cina bukan sahaja platform meraikan tradisi, malah menjadi ruang penting untuk mempererat hubungan masyarakat serta memupuk nilai saling menghormati.
“Keharmonian yang dikecapi hari ini merupakan kekuatan utama Sabah dan perlu dipelihara bersama bagi memastikan negeri ini terus aman serta berkembang untuk generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua, sambil berharap tahun baharu ini membawa kesejahteraan, limpahan rezeki dan memperkukuh lagi perpaduan rakyat.
“Gong Xi Fa Cai! Xin Nian Kuai Le!” katanya.
Tamat
