Oleh: Syarmilah Salleh
BEAUFORT, 9 Sept – Seramai 21 mangsa banjir membabitkan lima buah keluarga di dua kampung di daerah ini berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kejadian banjir petang tadi.
Menurut Komander Operasi, PBK II Azwan bin Aladin dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 2.30 petang sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi.
“Sejumlah 21 mangsa dilaporkan terperangkap iaitu empat mangsa dari sebuah keluarga di Kampung Kukup dan 17 mangsa daripada empat keluarga di Kampung Kangsa. Semua mangsa berjaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon dengan menggunakan lori Handalan bomba,” katanya dalam kenyataan.
Operasi yang disertai empat anggota BBP Beaufort dengan bantuan 13 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Vigo dan sebuah lori Hicom.
Pasukan penyelamat tiba di lokasi pada jam 2.48 petang dan berjaya melaksanakan pemindahan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.20 malam.
TAMAT