sh@ Syamilah Salleh
LAHAD DATU (23 JUN): Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berharap dapat bertanding untuk dua kerusi DUN pada pilihan raya negeri nanti.
Ketuanya Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd DUN berkata dua DUN itu termasuklah Lahad Datu dan Segama.
Menurutnya, wanita GRS yang ada ketika ini telah menunjukkan prestasi membanggakan dan seharusnya dipertahankan serta diberikan peluang lebih besar untuk mewakili suara rakyat, khususnya golongan wanita di Dewan Undangan Negeri.
“Itulah yang kita minta.. dua DUN ini (Lahad Datu dan Segama) perlu ada calon wanita. . yang mana sudah ada sekarang, kita pertahankan. Kita tidak ganti, kita tambah. Jangan salah faham,” katanya kepada media selepas Sesi taklimat jentera pilihan raya di program Jalinan Kasih DSP Ketua Wanita GRS Sabah, di sini malam semalam.
Beliau menjelaskan bahawa ramai dalam kalangan pemimpin wanita GRS telah pun bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan mempunyai kemampuan serta kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi.
“Saya yakin mereka ini muda, kuat dan berkemampuan. Bukan hanya boleh bekerja untuk parti, tetapi juga untuk rakyat dan negeri Sabah secara keseluruhan. Dan mereka mampu membawa suara wanita ke dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya lagi.
Tambahnya, suara wanita perlu diberi ruang yang lebih luas dalam pembentukan dasar negeri agar kepentingan semua lapisan masyarakat terutamanya wanita dan keluarga dapat diberi perhatian sewajarnya.
“Saya mahu lihat suara wanita berkumandang di DUN. Mereka bukan sekadar calon, tetapi pejuang kebajikan dan pembangunan,” tegas beliau.
Sehubungan itu Azizah turut menyeru agar jentera wanita GRS terus bersatu dan bersedia menghadapi pilihan raya dengan semangat yang tinggi serta keyakinan bahawa wanita juga mampu menjadi pemimpin yang cemerlang.
TAMAT

