LAHAD DATU, 19 Okt – Lebih 700 jemaah berhimpun dalam Program Ziarah Dakwah Pantai Timur di Masjid Tungku di sini hari ini.
Program itu dianjurkan oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).
Program yang menampilkan tokoh ulama tersohor Nusantara, Prof. Dr. Ustaz Haji Abdul Somad Batubara berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat termasuk penjawat awam dan golongan belia.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua USIA Sabah, Datuk Haji Abdul Hakim Ghulam Hassan yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) DUN N.60 Tungku.
Dalam ucapannya, Datuk Abdul Hakim berkata program itu bertujuan memperkukuh semangat keagamaan dan perpaduan umat Islam melalui pendekatan ilmu serta amalan dakwah berterusan.
“Masyarakat Tungku wajar dijadikan contoh atas semangat perpaduan dan budaya saling berpesan kepada kebaikan yang sentiasa diamalkan.
Dakwah adalah amanah bersama bukan hanya tanggungjawab ustaz dan ulama semata-mata,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan belia sebagai pewaris ummah yang perlu dibekalkan ilmu agama kukuh serta jati diri Islam yang mantap bagi menangkis cabaran sosial semasa.
Program berkenaan merupakan anjuran bersama USIA Sabah, JHEAINS, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Masjid Daerah Tungku, dengan matlamat memperkukuh kefahaman Islam serta menyuburkan nilai dakwah dalam masyarakat.
Turut hadir Ketua Daerah Kecil Tungku, Mohamed Nuron; Yang Dipertua USIA Sabah, Haji Safawi Ahmad; dan Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Islam) JHEAINS, Awang Juri Awang Tahir.
Selesai program tersebut rombongan penceramah bersama Datuk Abdul Hakim menziarahi pusara Tuan Guru Haji Ghulam Hassan Ali-Akbar Al-Haj Al-Ghaus Al-Bikangi yang lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Muda di Kampung Segangan, Tungku.
TAMAT