LAHAD DATU, 20 Okt: Kementerian Pertahanan Malaysia akan meningkatkan tahap keselamatan di negeri ini.
Ia termasuklah menambah beberapa rejimen dan briged di kawasan yang dikenal pasti memerlukan termasuk di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memastikan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada pada tahap tertinggi dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan.
“Siri lawatan lapangan seperti ini diadakan bagi memastikan keupayaan ATM terus diperkukuh.
“Antara fokus utama adalah memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan maritim dan daratan melalui Operasi Pasir,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Pos Tanduo, Lahad Datu, hari ini.
Beliau berkata, pasukan keselamatan ATM akan terus menjalani Op Pasir secara bergilir setiap tiga bulan meliputi empat sektor utama iaitu Kudat, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan.
Menurutnya, antara ancaman berterusan yang dikenal pasti di kawasan berkenaan ialah kemasukan pelarian dan kumpulan pemisah yang mencari perlindungan di negeri ini berikutan tekanan ketenteraan di Filipina.
“Operasi Pasir turut berperanan penting dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan, penyeludupan migran dan ancaman keselamatan yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi di kawasan Pantai Timur Sabah,” jelasnya.
Mohamed Khaled turut memaklumkan bahawa pangkalan laut Tun Sharifah Rodziah (PLTSR) akan digantikan dengan pangkalan bergerak baharu yang kini dalam perancangan selepas tamat tempoh penggunaan pada tahun 2026.
Selain itu, beberapa aset ketenteraan baharu seperti kapal Littoral Mission Ship (LMS) dan pesawat F50 akan ditempatkan di Sabah bagi memperkukuh keupayaan operasi ATM.
Lawatan kerja rasmi Menteri Pertahanan ke Pos Tanduo itu turut disertai 20 pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Antara yang hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Datuk Abdul Hadi Omar, Setiausaha Politik Datuk Mohammad Khairi A. Malik, Komander Angkatan Tugas Bersama Brig Jen Abd Munir Abd Rani serta Pegawai Memerintah 24 RAMD Lt Kol Ahmad Safuan Jaafar.
Antara pengisian lawatan termasuk taklimat keselamatan oleh Pegawai Kompeni Pos Tanduo.
Selain Itu lawatan ke Galeri Kampung Tanduo dan Mini Muzium Tanduo.
Penyampaian Kotak Rezeki serta sumbangan kelengkapan sukan kepada anggota keselamatan.
Pos Tanduo yang terletak di kawasan pantai timur Lahad Datu merupakan lokasi bersejarah insiden pencerobohan bersenjata oleh kira-kira 200 pengikut Kesultanan Sulu pada Februari 2013 yang mendakwa Sabah sebagai milik mereka.
Pertempuran berdarah itu membawa kepada pelancaran Operasi Daulat yang menjadi simbol keutuhan dan kedaulatan Malaysia dalam mempertahankan wilayahnya daripada ancaman luar.
Kini Pos Tanduo bukan sekadar markas pertahanan tetapi juga tapak simbolik keteguhan semangat pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan negara berkekalan.
TAMAT