SST BAHARU BEBAN RAKYAT- MCA LIBARAN

sh@

SANDAKAN: MCA Bahagian Libaran menggesa Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyemak semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) baharu yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Ketua Bahagiannya, Datuk Chin Kim Hiung, berkata perluasan senarai barangan kena cukai kepada lebih 4,000 item akan membebankan lagi rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah yang sedang berdepan kos sara hidup yang tinggi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas usul yang dibangkitkan pada Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Libaran semalam.

Chin menjelaskan, kadar SST baharu termasuk cukai 5% atau 10% untuk barangan bukan keperluan, manakala barangan asas seperti makanan, ubat-ubatan, dan bahan binaan tetap dikecualikan.

“Namun, kami mendesak kerajaan memastikan barangan harian rakyat tidak dikenakan cukai tambahan bagi mengelakkan kenaikan kos sara hidup,” tegasnya.

MCA Libaran juga mendesak Kerajaan Negeri Sabah mempertahankan harga bahan api, terutamanya diesel dan RON95, agar tidak membebankan industri dan rakyat.

“Subsidi bahan api harus dikekalkan sebagai hak rakyat Sabah dan bersama subsidi hasil kutipan SST dari Sabah disalurkan kepada Kerajaan Negeri untuk pembangunan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik, dan jalan raya,” kata Chin.

Chin turut mendesak agar hasil cukai petroleum Sabah yang mencecah RM7.36 bilion setakat Mac 2025 dialirkan semula ke negeri untuk pembangunan.

“Peruntukan mencukupi harus diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan pembangunan infrastruktur asas dilaksanakan dengan baik,” tegasnya.

Tamat