SIKAP GOING EXTRA MILE,KUNCI KEJAYAAN PBT” -DR. JOACHIM

OLEH: SYARMILAH SALLEH

LAHAD DATU: 15 Mei – Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menggesa Ahli Majlis Daerah mengamalkan sikap “going extra mile” atau pergi lebih jauh sekiranya mahu melihat kejayaan dan kecemerlangan dalam sistem penyampaian kerajaan tempatan.

“Going extra mile bermaksud kita sanggup memberi lebih jauh daripada yang diminta, berusaha lebih daripada yang disyaratkan. Ini adalah kunci kepada kejayaan sebenar. Kita tidak boleh hanya bergerak atas landasan biasa, tetapi perlu berani melangkah lebih jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Lahad Datu bagi sesi 2025 hingga 2027, di sini hari ini.

Dr. Joachim berkata, dalam konteks Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pendekatan ini bermaksud ahli majlis bukan sahaja menjalankan tanggungjawab asas, tetapi juga turunpadang mendengar suara rakyat, menyelesaikan isu setempat dengan proaktif serta sentiasa mencari ruang penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan.

Usaha luar biasa itu katanya perlu disertai dengan nilai-nilai integriti, amanah, kerjasama berpasukan dan kepercayaan.

“Saya percaya dengan adanya ‘effort and commitment’, ‘teamwork and trustworthy’, Majlis Daerah akan lebih cemerlang dan dihormati rakyat,” tegasnya.

Beliau turut menyifatkan kementeriannya sebagai ‘ayah’ yang membimbing PBT selaku ‘anak’ agar tidak tersasar dalam menjalankan fungsi masing-masing. Katanya, PBT pula bertanggungjawab menunjukkan prestasi terbaik dan menjaga nama baik organisasi.

Dalam majlis itu, Dr. Joachim turut menyeru semua ahli majlis yang baru dilantik supaya sentiasa berada dalam satu pasukan yang bergerak seiring ke arah matlamat yang sama.

“Jangan ada yang berhenti mendayung, apatah lagi mendayung berlawanan arah. Jika semua mendayung seiring, kita akan sampai ke destinasi dengan lebih cepat dan lancar,” katanya, merujuk kepada analogi organisasi sebagai sebuah sampan.

Dr. Joachim berkata, ahli majlis perlu menjadikan setiap cabaran sebagai ruang pembelajaran dan tidak takut untuk membuat keputusan demi kepentingan rakyat.

“Kita mesti berani melangkah ke hadapan. Kesilapan bukan penghalang, tetapi pedoman. Tugas kita ialah memastikan perkhidmatan yang diterima rakyat sentiasa yang terbaik,” ujarnya.

Beliau yakin bahawa gabungan pengalaman, semangat dan sikap mahu memberi lebih daripada kebiasaan dalam kalangan ahli majlis akan menjadikan Majlis Daerah Lahad Datu sebagai institusi contoh di Sabah.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Pengerusi Majlis Daerah merangkap Pegawai Daerah Firuz Irzualdeen Benetty Mohd Dzul dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah, Jackley Gielbert @ Lontou.

TAMAT