SHAREDA diseru bantu bentuk pembangunan Bandar Pintar

KOTA KINABALU: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) serta sektor swasta diseru membantu membentuk pembangunan bandar pintar di negeri ini.

“Pembangunan bandar pintar akan menjadi fokus utama bagi negeri ini,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Dua bandar pintar dirancang di Penampang dan Kota Kinabalu, kita sedang melangkah ke era baharu inovasi bandar.

“Saya menggalakkan SHAREDA dan sektor swasta untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk bandar pintar ini dengan mengintegrasikan teknologi, kelestarian dan keperluan komuniti bagi mewujudkan ruang kehidupan yang lebih pintar dan selesa untuk masa depan,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Shareda ke-47 di Magellan Sutera Resort, malam ini.

Ucapan beliau dibacakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memupuk persekitaran yang kondusif dan mesra perniagaan bagi menggalakkan pelaburan serta inovasi.

“Kami komited untuk memperkemas prosedur, menambah baik penyampaian perkhidmatan serta memastikan dasar kami kekal telus, adil dan menyokong keyakinan pelabur.

“Pada masa yang sama, penyediaan perumahan kepada rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.

Hajiji turut berasa gembira dengan tumpuan SHAREDA terhadap pembangunan lestari dan hijau yang sejajar dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Pendekatan berpandangan jauh ini memastikan pertumbuhan yang kita usahakan hari ini tidak akan menjejaskan keperluan generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut memuji SHAREDA atas kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri serta peranan berterusan dalam memajukan agenda pembangunan Sabah.

“Sektor hartanah kekal sebagai salah satu pemacu utama ekonomi Sabah. Ia membawa pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat kita.

“Dalam kita melangkah ke hadapan, pembangunan mesti kekal seimbang dan inklusif untuk memupuk peluang, di samping memastikan kelestarian serta memberikan nilai jangka panjang kepada semua rakyat Sabah,” katanya.

Tamat