SEBELAS ORANG DIHADAPKAN KE MAHKAMAH HARI INI, KERANA DISYAKI TAWAR PINJAMAN TIDAK WUJUD

SANDAKAN (14 MEI): Akibat menawarkan pinjaman tidak wujud, sebelas orang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Kesemua mereka, empat lelaki dan tujuh wanita itu berusia antara 19 hingga 33 tahun.

Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondomin dan di taman perumahan antara jam 11 malam hingga 1.45 pagi pada 6 dan 7 Mei lalu.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Nooraznie Bolalan memaklumkan mahkamah bahawa kesemua tertuduh terlibat dalam satu pakatan jahat jenayah untuk menawarkan pinjaman tidak wujud, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan.

Daripada jumlah tertuduh, empat lelaki dan dua wanita merupakan warganegara, manakala lima wanita lagi adalah bukan warganegara. Kesemua mereka diwakili peguam bela.

Pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi tertuduh warganegara, namun peguam bela memohon pengurangan atas alasan tanggungan keluarga dan status pengangguran sesetengah tertuduh.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan dua penjamin tempatan untuk tertuduh warganegara. Tiada tawaran jaminan diberikan kepada tertuduh bukan warganegara dan mereka akan ditahan reman.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 dan 19 Jun 2025.