Caption Gambar – Datuk Dr. Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif mewakili Ketua Menteri menyerahkan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) pada majlis penyampaian di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu pada Ahad.
sh@ editor
KOTA KINABALU (20 JULAI): Kerajaan terus memperlihatkan komitmen tinggi terhadap pembangunan pendidikan tinggi.
Ia diperlihatkan apabila kerajaan memperuntukkan RM136 juta untuk Biasiswa Kerajaan Negeri pada tahun ini.

Ketua menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Nor berkata peningkatan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan peluang pendidikan tinggi mampu dinikmati oleh semua anak Sabah.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif pada Majlis Penyampaian Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri Sabah (SENTOSA) di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Hajiji berkata, seramai 4,170 pelajar bakal menerima manfaat tajaan BKNS tahun ini, sejajar dengan matlamat dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasa sektor pendidikan sebagai tunjang kemajuan negeri.
Hajiji berkata, pada tahun ini sahaja, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM77.5 juta untuk melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan yang memberi manfaat kepada sekolah-sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta persatuan pelajar Sabah di dalam dan luar negara.
Katanya, antara inisiatif utama termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara OneOff (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) dan Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY).
Menurutnya, Yayasan Sabah turut memainkan peranan besar dalam pembangunan pendidikan apabila memperuntukkan RM67.17 juta pada tahun lalu, yang memberi manfaat kepada 3,234 pelajar.
Katanya, melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pula, perbelanjaan sebanyak RM92.4 juta disalurkan dalam tempoh lima tahun melalui Bahagian Zakat dan Fitrah, membantu lebih 48,000 pelajar dari seluruh negeri.
Hajiji berkata, bagi memastikan kesinambungan sokongan pendidikan, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang diperkenalkan pada Jun 2022 telah memberi manfaat kepada hampir 10,104 penerima, membabitkan perbelanjaan sebanyak RM15.8 juta sehingga kini.
Beliau berkata, bantuan SENTOSA yang dilancarkan pada Mac lalu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, membabitkan peruntukan RM6 juta dan menyasarkan kira-kira 20,000 pelajar bumiputera Sabah yang menuntut di IPT dalam negeri.
“Bantuan ini bertujuan meringankan beban kewangan pelajar, khususnya untuk keperluan asas atau pulang ke kampung halaman.
“Ia juga mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan tiada pelajar yang tersisih daripada arus pendidikan,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, Hajiji menyampaikan bantuan SENTOSA secara tunai one-off sebanyak RM300 seorang kepada lebih 600 pelajar, membabitkan 319 pelajar UMS dan 323 pelajar Kolej MAHSA Sabah yang masih belum menerima bantuan berkenaan sebelum ini.
“Saya berharap para pelajar memanfaatkan sepenuhnya segala bentuk bantuan yang disediakan dan terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing demi masa depan negeri dan negara,” katanya.