PROGRAM SIMULASI PENGUNDIAN DEDAH PELAJAR KEPADA SISTEM DEMOKRASI

sh@ Syamillah Salleh

LAHAD DATU: 25 Jun – Seramai 120 orang pelajar daripada enam buah sekolah menengah di daerah ini menyertai Program Simulasi Pengundian anjuran Jabatan Penerangan Lahad Datu dengan kerjasama Kelab Malaysiaku, hari ini.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu, Henry Nurdin, program tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

“Kelab Malaysiaku merupakan kelab di bawah seliaan Jabatan Penerangan dan ditubuhkan di tujuh buah sekolah. Namun, bagi program kali ini, hanya enam buah sekolah terlibat kerana satu sekolah tidak dapat menghantar wakil,” katanya.

Tambah beliau, fokus utama program adalah untuk mendidik dan memberi kefahaman kepada pelajar tentang proses sebenar pengundian, termasuk tatacara mengundi yang betul dan perlu dipatuhi.

“Mereka adalah bakal pengundi muda yang bakal memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi negara. Maka, penting untuk mereka mengetahui hak serta tanggungjawab sebagai pengundi demi masa depan negara,” jelasnya.

Program tersebut diharap dapat melahirkan warganegara yang celik demokrasi serta bersedia menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat.

Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Lahad Datu, Ustaz Haji Samsuddin Haji Sabirin yang mewakili Pejabat Pendidikan Daerah sebagai perasmi.

Program ini secara tidak langsung menjadi platform penting dalam memupuk kesedaran sivik dan tanggungjawab demokrasi dalam kalangan generasi muda, selaras dengan aspirasi kerajaan memperkasa penyertaan belia dalam sistem pemerintahan negara.

TAMAT