Oleh: Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 20 Sept – Program Health Screening Drive 1.0 anjuran Lions Club Kota Kinabalu dengan kerjasama Lions Club Mandarin Lahad Datu, Lions Club International Lahad Datu dan Ranau berlangsung meriah di Gelanggang Futsal, Kampung Durian, Batu 2 Jalan Segama, di sini hari ini.
Program yang bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu diketuai Organising Chairman, Yvonne Yong Yit-Phung yang juga Ketua Mudanita SAPP Sabah merangkap Ketua Penerangan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Seramai 130 peserta hadir termasuk pimpinan Lions Club dari Kota Kinabalu, Ranau dan Lahad Datu, pegawai kesihatan serta masyarakat setempat.
Antara yang hadir ialah Presiden Lions Club of Kota Kinabalu Downtown, Hwong Ching-Huay; Presiden Lions Club of Ranau, Channon Chai Chan-Nam; wakil Presiden Lions Club of Mandarin Lahad Datu, Eilis Tan Chai-Kiang; serta Pegawai Optometri U9, Nurul Syafiq Abdul Hadi.
Dalam program itu, Nurul Syafiq menyampaikan taklimat penjagaan kesihatan mata yang menekankan kepentingan pemeriksaan berkala, punca masalah penglihatan akibat gaya hidup moden, faktor persekitaran serta risiko penyakit mata seperti rabun, katarak, glaukoma dan degenerasi makula.
Beliau turut menasihati orang ramai mengamalkan kaedah 20-20-20 ketika menggunakan gajet, menjaga pemakanan seimbang kaya dengan vitamin A, C, E serta omega-3, selain memastikan kebersihan mata terpelihara.
Selain pemeriksaan kesihatan mata oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cawangan Lahad Datu, program turut menawarkan cermin mata percuma kepada 100 penerima dan penyampaian bantuan beras lima kilogram kepada penduduk setempat.
Yvonne berkata, program julung kali diadakan di Kampung Durian itu bertujuan memperkukuh peranan Lions Club dalam khidmat masyarakat terutama dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
TAMAT