sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU; 26 JULAI 2024 (Sabtu) – Ketegasan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah tanpa kompromi membuahkan hasil apabila berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak sawit mentah (CPO) di kawasan Batu 15, Jalan Lahad Datu-Sandakan, semalam.
Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim, dalam serbuan kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, pasukan serbuan PPM Wilayah 4 berjaya membongkar sebuah premis penyimpanan haram sebelum merampas 77,590 kilogram CPO bersama dua lori, satu van dan sebuah tangki simpanan minyak.
“Operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia antara 20 hingga 53 tahun bagi membantu siasatan lanjut,”
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM2,287,332,” katanya dalam kenyataan hari ini
Menurut beliau,tindakan berterusan mereka dalam membanteras kegiatan haram seperti ini telah merekodkan rampasan bernilai lebih RM15 juta sejak Januari lalu.
Kes kini disiasat mengikut Peraturan 5(1)(b) di bawah Peraturan-peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005.
PPM Wilayah 4 Sabah menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.
Tamat

