Oleh: Syarmillah Salleh
LAHAD DATU, 6 Sept – Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum memuktamadkan jumlah calon yang bakal bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perbincangan masih berjalan memandangkan terdapat beberapa isu berkaitan kerusi yang perlu diselesaikan.
“Baru-baru ini,Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan bahawa Barisan Nasional tidak akan bekerjasama dengan GRS, tetapi mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan. Jadi selepas keputusan itu, ada beberapa perkara yang kita perlu bincangkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut beliau, pengumuman rasmi calon PKR dijangka dibuat dalam tempoh dua minggu sebelum hari penamaan calon.
“Kebiasaannya bagi Pakatan Harapan khususnya, kita tidak umum terlalu awal. Biasanya dalam dua minggu sebelum penamaan calon, nama calon akan diumumkan secara rasmi,” katanya.
Terdahulu, beliau meninjau dan menguji kualiti liputan komunikasi di Kampung Sapagaya di sini bagi memastikan kesiapsiagaan penyedia perkhidmatan komunikasi (telco) menghadapi Monsun Timur Laut.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Fauzi Isa .
Tamat

