sh@ editor
KOTA KINABALU : 26 Julai- Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Sabah pada Rabu berpunca daripada penutupan kecemasan terminal gas milik Petronas, menurut kenyataan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Ketua Pegawai Operasi SESB, Ir. Ts. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, penutupan terminal gas pada jam 2.11 petang itu telah menjejaskan bekalan gas ke beberapa stesen janakuasa sekitar Kota Kinabalu, memaksa stesen berkenaan menukar kepada bahan api alternatif seperti diesel.
“Tindakan ini menyebabkan penjanaan elektrik di Sabah dan Labuan mengalami pengurangan kapasiti sehingga 60 megawatt (MW), sekali gus menjejaskan kestabilan bekalan,” katanya.
Susulan itu, catuan bekalan elektrik terpaksa dilaksanakan secara berperingkat bermula jam 2.38 petang hingga 4.53 petang melibatkan pengguna di kawasan Pitas, Papar, Keningau, Kunak, Balung dan Tawau.
Catuan fasa kedua turut dilakukan pada jam 6.38 petang bagi kawasan Kudat, Kota Marudu, Tuaran, Lok Kawi, Kimanis, Beaufort, Tenom, Nabawan, Beluran, Sandakan, Kunak, Semporna, Tawau dan Sebatik.
Bagaimanapun, bekalan elektrik berjaya disalurkan semula sepenuhnya pada jam 9.36 malam.
SESB dalam kenyataannya memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna, serta kelewatan dalam memaklumkan perkara tersebut kepada orang ramai.
“Pihak kami amat menghargai kerjasama dan keprihatinan para pengguna agar memahami cabaran teknikal yang dihadapi dalam memastikan kestabilan sistem tenaga elektrik di Sabah,” kata kenyataan itu.
Pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lanjut disarankan menghubungi Sabah Electricity melalui talian Careline 15454, 088-515000, aplikasi WhatsApp di nombor 019-852 5427 atau menerusi aplikasi rasmi Sabah Electricity.
TAMAT